Sambutan Hangat

Sunday, January 2, 2011

Ada apa dengan Cinta? Dewasa VS Remaja


Cinta? Tidak keterlaluan jika persoalan ini dikatakan sangat sinonim kepada makhluk yang bernama manusia. Remaja terutamanya, bila menyebut tentang cinta, maka seribu satu persoalan bakal berkait diantara satu dengan yang lain. Di dalam mengenali cinta ada sahaja cerita –cerita yang di paksikan pada soal hati dan perasaan. Ada juga yang mengatakan bahawa cinta itu sebenarnya satu anugerah yang bukan wujud secara semulajadinya, tetapi ianya adalah pemberian dari yang Maha Esa kepada makhluknya. Apa pun ‘cakap-cakap’ tentang cinta ini, pokok persoalannya disini adalah perlukah remaja bercinta?

Melihat kepada sejarah penciptaan manusia. Nabi Adam a.s juga bercinta. Wujudnya kasih sayang Adam kepada Hawa itu satu bukti yang jelas bahawa manusia ini diciptakan memiliki perasaan cinta dan kasih. Nabi-Nabi terdahulu, didalam sejarah dan riwayat hidup mereka juga tidak pernah terlepas dari menceritakan tentang cinta. Sebagai contoh, pengorbanan Siti Hajar ditinggalkan di tengah Padang Pasir Kontang. Ini kisah cinta. Bermakna cinta ini wujud. Cinta ini adalah sebahagian dari diri kita manusia. Cinta itu sentiasa ada bersama kita. Nah! Mengapa cinta yang sudah jelas diketahui kewujudannya kini dipersoalkan pula keperluannya? Setiap manusia itu sama ada mahu atau tidak, pasti akan terjerumus kedalam kancah cinta. Cinta itu adalah kasih sayang. Cinta itu ada dimana-mana. Kerana manusia diciptakan dan diberikan kepada mereka itu kasih sayang. Oleh itu, seseorang yang menidakkan cinta itu seolah-olah menidakkan kewujudannya sebagai manusia. Maka mengapa cinta dilihat sebagai sesuatu yang tidak perlu kepada remaja? Siapa pula yang meletakkan had umur tertentu untuk membenarkan cinta berputik kedalam sanubari manusia? Adakah rasa cinta yang wujud dikalangan remaja itu sesuatu yang salah dan cinta dikalangan remaja itu adalah HARAM?

Tiada had umur didalam bercinta. Tiada fatwa atau larangan untuk remaja bercinta. Jika mahu difatwakan larangan ini, maka cabutlah cinta itu dari hati setiap remaja. Programkan setiap remaja itu untuk tidak mengenali cinta. Jadikan mereka seperti robot. Tidak punya kasih sayang. Tidak punya rasa suka kepada berlainan jantina. Ironinya mengapa ada dikalangan orang dewasa yang melihat remaja bercinta sebagai tidak perlu dan salah? Hairan kerana mereka yang menentang, yang menyalahkan remaja bercinta, mereka ini juga suatu ketika dahulu adalah R E M A J A. Lalu mengapa setelah menjangkau usia dewasa, mereka berpaling dan begitu menentang sebarang hubungan cinta remaja dengan melabel cinta mereka ini sebagai cinta monyet, cinta murahan dan cinta tiada hujung pangkal?

Adakah salah untuk remaja bercinta? Jawapannya jelas. Tidak salah sama sekali remaja bercinta. Keruntuhan akhlak, perlakuan sumbang remaja, berkhalwat, salah laku seks berlaku bukanlah kerana salahnya remaja bercinta, tetapi kerana salahnya mereka-mereka yang bertanggungjawab gagal untuk mengajar cara bercinta yang sebenarnya. Remaja hari ini di doktrinkan dengan idea cinta yang salah. Mereka di ajar sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh persekitaran mereka dengan ilmu dan tafsiran cinta yang salah. Bercumbuan itu dilihat sayang. Berpegang tangan yang bukan muhrim dilihat sebagai ‘ambil berat’. Ini tafsiran-tafsiran yang di tonjolkan oleh media dan orang-orang yang tidak punya adat dan tatasusila. Oleh kerana tiadanya kelas disekolah mengajar tentang ‘bagaimana bercinta dengan betul’ maka siapa harus dipersalahkan bila remaja berkelakuan sumbang? Maka cinta yang akan dipersalahkan kerana menyalahkan cinta lebih mudah dari memikirkan bagaimana mendidik rasa cinta yang diberkati dan diredhai oleh tuhan. Mengharamkan cinta itu lebih mudah dari mencari penyelesaian kepada bagaimana mendidik rasa cinta yang betul dikalangan remaja.

Ketahuilah bahawa dengan menghalang remaja bercinta masalah tidak akan selesai. Adalah lebih baik remaja didik bagaimana untuk menghargai nilai cinta dan mengenali cinta itu dari sudut yang sepatutnya dari mengambil jalan mudah menghalang. Adalah lebih molek jika dijelaskan kepada mereka bahawa cinta yang berlandaskan hawa nafsu itu bukanlah cinta sebenar sebaliknya ia adalah cinta yang gagal. Cinta yang bertuankan nafsu tidak punya kasih sayang malah ianya cinta yang kotor dan dikeji. Percayalah, jika didikan tentang cinta ini dapat dilaksanakan dengan menyeluruh, maka pada hari ini kita tidak lagi perlu risau remaja kita bergelumang dengan maksiat. Jika semua orang memainkan peranan, mendidik setiap warga remaja tentang nilai cinta sebenar maka pada hari ini kita tidak perlu risau dunia dipenuhi dengan mereka yang runtuh akhlaknya. Semaikanlah nilai cinta yang sebenar. Ajarkan remaja dengan nilai cinta yang sejati dan di redhai.

1 comment:

Anonymous said...

ermm .. saya juge rase cinta tidak salah .. tapi mungkin cinta di katakan salah itu disebabkan insan2 yg terlalu mengikut nafsu .. dan nafsu yg telah mengawal mereka .. sedangkan kita sebagai manusia, kita yg perlu mengawal nafsu kita sebaik-baik nya bukan sebalik nya bukan .. ape2 pun, saya setuju !!