Sambutan Hangat

Friday, December 31, 2010

Kata Penglipurlara...


"melehat angka 11. boleh jadi ia satu satu. boleh jadi ia dua angka satu. selalu disebut sebelas, dieja se-be-las. kalau di tambah satu maka jadi ia seratus sebelas. di tambah satu juga ia boleh menjadi dua belas. Makanya kau dan aku. Tiada yang sesudut di depan mata. Tiada yang sesegi di pandangan. Lehat kiri dan kanan. Lehat depan dan belakang. Baru kau buat kesimpulan. Baru kau konklusikan"

Thursday, December 30, 2010

Falsafah Dan Falsampah

Kata Penglipurlara...


"sesuatu yang istimewa, letaknya tidak pernah dapat kau lihat dengan jelas walau ia duduk di depan mata. Berhentakkan suaranya memanggil sehingga serak sehingga lesu. Lalu akhirnya kau tinggalkan ia kerana kebodohanmu. Taktala kau bermenung mula kau terfikir adakah tidak pernah sekalipun ia hadir kepadamu?. Itulah peluang. Datang dan pergi. Jika kau sedar maka pasti kau genggam. Gagal kau kerana tidak mengenalinya"

Kenduri, Parti dan Funfair

Hujung minggu semakin menyesakkan. hujung minggu bagi kanak-kanak adalah nikmat dan rahmat. hujung minggu bagi anak muda adalah waktu ia bersuka ria.Buat aku? hujung minggu bermakna lebih banyak makan nasi minyak untuk memboroikan perut yang telah sedia boroi dan mengeringkan poket yang semakin nipis.Namun itu semua adalah kebiasaan bagi mereka, bagi aku, bagi dia. kerana kami pendukung adat yang setia. Maka jika ada sepuluh kenduri, itu bermakna aku baharu saja makan 10 kali lauk yang sama dengan berbelanja sepuluh kali ganda dari hari biasa! aku tak kisah kerana aku pendukung adat yang setia. adat yang aku sendiri kurang fasih asalnya. dari cabang temenggung maupun pepatih, yang pasti ajarannya ialah hadir wajib menghulur. jika tidak menghulur maka tebeliak dan tejegil mata orang orang melihat dirimu. maka nasi yang sedap akan kau rasakan cemplang. walau cukup rempah ratusnya.

Hujung minggu juga sedap ku berborak soal politik dan parti. parti disini bukan parti suka ria. bukan parti buih maupun parti lempeng. parti disini merujuk pada senario politik negara. budaya politik kepartian yang begitu sinonim dengan Malaysia negaraku tercinta. Sistem kepartian ini wujudnya dari sistem berpesatuan. Mereka bergerak berbondong-bondong ke hulu dan kehilir memperjuangkan slogan-slogan mereka. mereka memborak kesana dan kemari untuk menjual modal air liur mereka. nah! budaya kepartian ini warisan politik lama. kita memang orang yang taat dengan warisan. taat pada asal usul. taat berparti. walaupun diri sendiri tergadai dan terbarai

Hujung minggu juga enak jika ke hujung pekan melawat funfair. hujung minggu adalah waktu untuk bergembira. untuk 'fun' untuk 'happy', Maka duduk tercongok dihadapan televisyen sambil melihat cerita ben10 dihujung minggu tidak 'cool'.Maka semua manusia akan bertebaran ke pusat-pusat bandar. mencarui 'fun' disana. Hidup dengan hiburan. mabuk dan hanyut dalam alunan fitnah dunia. Jangan kau rasa pelik. Jangan kau rasa hairan. Kita orang yang taat. Tidak selangkah kita berubah.

Maka kenduri kita kenduri orang yang taat. parti kita juga parti orang yang taat. dan Funfair kita juga Funfair yang taat.

Kenduri kendara asalnya medan menghubung ukhwah silraturrahim. medan menjalin persaudaraan dengan melaksanakannya secara bergotong royong. budaya menghulur ini adalah dalam bentuk beras dan bekalan masakkan. tidak tentu nilainya. jika telor dua biji yang kau ada dan mahu sumbangkan maka aku terima dengan rela. jika ada saekor gajah buat mempelai disana maka terima ia juga sama bagai nilainya 2 biji telor tadi. yang dikira adalah ikhlasnya. bukan pada mahalnya. bukan wajib. bukan bebanan. maka kenduri ada 10 juga akan kau pergi dengan senyum dan tawa. dengan ikhlas hati kerana tidak merasa beban.

Sistem kepartian yang diamalkan kini adalah sistem yang sakit. sistem yang gila. sistem yang jauh terpesong dari nilainya. Sistem politik yang sakit harus diubah. wakil rakyat seharusnya menjadi wakil kepada rakyat bukan wakil kepada parti. apa yang harus diperjuangkan adalah keinginan dan kebajikan penduduk setempat. bukan mendukung ideologi parti yang bersifat umum. Maka berjuanglah kepada orang yang mengundi dirimu. berjuanglah demi kepercayaan yang di taburkan terhadap dirimu. si wakil rakyat yang tidak pekak dan tuli. yang celik dan tidak buta.

Hiburan wujud untuk kita kerana nilai komersialnya. jangan dipersoal tanggung jawab sosial pada mereka. mereka tidak kenal apa itu tanggungjawab. apa itu sosial. wang dan RM menjadi ukuran. maka hiburan tumbuh bagai cendawan. dari dalam rumah hingga luarnya. dari hujung dunia hingga kekutubnya. jika hiburan tidak ada, maka dunia dilihat suram dan mati. Oleh itu siapa yang ingin kau persalahkan bila anak muda hanya tahu merempit dan bergomolan jantan dan betina?

shhh... kita orang taat.. taat pada adat. taat pada pemimpin. taat pada wang ringgit. tetapi derhaka kepada nilai, negara dan agama...

Wednesday, December 29, 2010

Kata-kata pujangga....






carlos valderrama adalah mausia paling bijak merancang gol
tetapi sekalipun tak pernah menang piala dunia

kita hanya merancang untok memiliki
tetapi takdir tuhan yang menentu segalanya

Farid Abdillah, Dari Jalan Kopi 2010

Tuesday, December 28, 2010

Malaysia VS Indonesia


Saudara sekulit dan sewarna. Tapi tidak sehati dan sejiwa. Ini satu budaya kau. Ini dua budaya aku. Ini 3 bahasa kau. Ini 3 bahasa aku. Kahkahkah Rebut apala saudaraku. Kau berdua orang yang sama. Ibarat tangan kanan dan tangan kiri. 1 buat menyuap makanan. 1 buat membasuh punggung

Mesyuarat ?


mesyuarat! mesyuarat! mesyuarat!
orang bermesyuarat!
mereka bermesyuarat!
siapa sebenarnya yang bermesyuarat?

Lihat mereka !
susok susok itu bermesyuarat
laksana ayam bertemu itik
ayam berkokok megah
itik menguek bongkak

heyyyy!!
kau bermesyuarat kah?
mesyuarat kau kedai kopi
minum kopi tengok wrestling
mengomel mengomel mengomel
kau sahaja yang betol
kau menteri
kau wakil rakyat
kau pemimpin agung
tapi kau masih disini
bediri tidak tinggi dari aku
rendah kau ternampak sendiri

sedarlah...
darjat kau hanyalah orang biasa
maka jangan kau bongkak
kelak orang ukur bajumu di badan kamu
maka nampak sendat lusuhnya

cakap siang pandang pandang
cakap kerana perlu
cakap bila orang mahu

kerna...
mesyuarat dan musyawarah
bukan untuk kau dan aku
tetapi untuk semua
untuk kita bersama

Tinta Untok Kamu


Tinta ini buat kamu.

Tinta ini kirimanku, buat kamu.

Menyampai kesah aku.

Kesah tentang perjalananku.

Sedang tinta ini ku karang,

Pinochio maseh lagi berbohong.

Panjang hidungnya ia tetap berbohong.

Kasehan ibu, kasehan ayah.

Jika anaknya patong pinochio.

Patong tidak sedar diuntong.

Tinta ini bicaranya kamu wanita.

Hari hari kamu di depan biasan kaca.

Merenung jauh menyelami rahsia diri.

Cantik. Lawa.

Laksana lekanya si ibu tiri snow white dengan cermin saktinya.

Hari ini kau kata cantek.

Esok lusa ia bekerut.

Maka kau hempas ia berderai.

Fitnah ini fitnah.

Fitnahnya dunia.

Fitnah ia kerana sementara.

Tinta ini untok gades itu.

Gades pasca semasa bukan gades uda dan dara.

Bukan gadesnya juliet.

Menunggu romeonya berkuda belang.

berbondong bondong dengan perisai dan senjata

tetapi lupa membawa tali untuknya mendaki tingkap hati

ah! ini sungguh leceh!!

gades pasca semasa tiada beromeo

gades pasca semasa menunggang besama

kuda-kuda jalanan.

tidak perlu bersiap siaga si putera raja

tidak perlu perisai maupun senjata

apatah lagi tali buat mendaki tingkap hati

si gades pasca ini

ibarat perigi mencari timba.

timba lubang pun jadi.

tinta ini buat siapa lagi

tiada siapa maka

tinta ini berakhir disini

Monday, December 27, 2010

Cerita Hari Ini

kesah hari ini kesah yang pasti. kerana ianya telah pun berlalu. menjadi sejarah dan ingatan. buat si pelaku dan juga mereka yang hadir sama di bibit bibit peristiwa. lalu apa yang berlaku pada hari ini kecil atau besar ia adalah cerita. cerita kau dan cerita aku

Maka cerita aku hari ini, al kesah bercandalah aku dengan masa, ikut bersama menjayakan Majlis BBQ bersama bekas murid SAMUSKD 2010. Majlisnya ringkas tetapi dilaksanakan cukup lancar. Dengan persiapan yang ala kadar dan makanan yang luarbiasa aku gagal untuk melantak setiap makanan yang berada di hadapan mataku. anehnya aku jadi kenyang hanya dengan melihat telatah anak muridku. bersukaneka dan bergotong-royong.

Maka pesan terakhirku buat semua anak muridku. " Anak murid yang hebat bukanlah mereka yang mampu menguasai segala ilmu yang dicurahkan tetapi mereka yang mampu menggunakan sedikit ilmu yang diajar pada waktu-waktu yang perlu" - ahmad saiful anwar arrifin dec 2010

Kata Penglipurlara...


"Semalam itu ingatan. Semalam itu sebuah kesah. Semalam itu sejarah. Semalam itu jadinya hari. Semalam itu mulanya hari ini. Semalam itu ratapan hati. Yang sedih yang gembira. Yang tua, semalam itu nyawa yang hilang. Yang muda, semalam itu satu kehidupan. Anak-anak semalam hari ini sudah makin membesar. Ini kesah semalam. Semalam yang pergi. Semalam yang hilang dari arus ini."

Sunday, December 26, 2010

idealistik yang spastik

Bahasa budaya bangsa. aku kira perumpamaan itu terlalu cetek. bahasa itu ibarat nadi buat bangsa ini. Bahasa itu berdetiknya setiap saat laksana pentingnya ia sebagai perantara nyawa. lajunya ia berdetik tanda ia segar dipertutur, tetapi hakikat malang kerana detik-detaknya kian perlahan. lemah dan longlai kerana punya seribu satu penyakit. sakit yang berkudis. yang membunuh bahasa dan bangsa. sakit menuding kau dan aku. sakit bernanah kerana berjuang demi bahasa tidak pernah ada dalam kamus penuturnya. sakitnya ia kerana gagal berfungsi sebagai maksudnya, sbagai dirinya yakni BAHASA!

Lalu bersurah para penuturnya, yang mengaku bahawa bahasa milik mereka bangsa. tika sakitnya bahasa mereka bangun berdiri seperti hero. ah bahasa yang sakit perlu ada ubatnya. ubatnya apa? ubatnya adalah itu dan ini. ah? kau mana tahu ubatnya? kau siapa. aku orang bahasa. cendikiawan bukan cendawan seperti kau. ini nahunya, ini sorofnya. maka pisang goreng dan goreng pisang juga menjadi isunya. sedang dahulu pak pandir tika ia membeli pisang goreng ditepi jalan ia hanya berkata sedap pisangnya, tidak pula ia merungut tentang bahasanya. adakah pisang goreng atau goreng pisang. aku kira jika pak pandir berkira-kira tentang nahunya. sedap pisang akan hilang. enaknya akan menjadi tawar. kata jawa 'cemplang' kata melayunya tawar. maka pasti pisang itu dibuangnya. jadi untuk apa tika ini kita berbicara soal hukum hakam bahasa? mengapa tidak saja kita fikirkan apakah hidup lagi bahasa ini jika penuturnya sendiri menjadi pandir kepada bahasanya?

ah, jadi? sakit bahasa ini salahnya kerana si politikus-politikus yang berborak dengan you and i? you and i ini yang berkata-kata saban hari bahawa bahasa jiwa bangsa. ini sudah leceh. jika encik sammy dengar dia juga sedih kerana sedaya upayanya dia bertutur bahasa melayu sejak darah menjadi dara dan dadah menjadi dada.dan ketika dia bersurah tentang dirinya yang memiliki rakyat jelata hebat dari sultan, hebat dari raja. maka simpulan ini kau tudingkan pada politikus-politikus yang tidak berbahasa? no no no, bercakap bahasa asing tidak membuatkan diri kau pandai, bercakap bahasa sendiri juga tidak menaikkan iq mu sejengkal kehadapan jika bahasa yang kau pertuturkan tidak menurut ertinya ia sebagai BAHASA! bahasa sebagai alat komunikasi. alat menghubung ilmu. jika ia gagal sebagai fungsinya. maka salah kau menuding pada mereka dan menuduh mereka alpa dan leka dari berjuang demi bahasa. kerana hakikatnya kau juga sama!

maka cendawan-cendawan tadi sudah berkulat dan berkarat. kerana masa dirinya dihabiskan dengan menuding kesana kemari. masa nya dihabiskan dengan berbincang formula yang ampuh untuk merawat bahasa. cuba kau turun dan lihat anak muda. mereka berkarya, mereka bermanja, berasmara dan bercumbuan dengan bahasa. lahirnya anak-anak muda yang hidupnya puas dengan bahasa. metafora dan paradox kian sebati dengan penulisan mereka. tiada nahu dan sorof. yang ada pada karyanya ikhlas untuk berkongsi sedikit rasa. sedikit kata menjalankan tanggungjawab sebagai penutur bahasa. yang berjuang tanpa niat mengubat bahasa tetapi mereka hidup dengan bahasa itu sendiri.

Berjuang dengan bahasa tidak perlukan tangan dan kaki. tidak perlukan pangkat dan nama.berjuang untuk bahasa harus bergomol dengannya. berjuanglah dengan berkarya atas nama cinta, suka dan duka. atas nama nyawa dan kehidupan. atas fungsinya sebagai bahasa. berkaryalah walau sebaris ayat. sebaris ayat yang mewarnai setiap huruf-huruf roman maupun hijaiynya. lalu kau yang berkarya berbaggalah atas dirimu kerana kau sudahpun berjuang demi bahasa untuk bangsanya. kerana kau penutur yang setia.

sudah-sudahlah cendawan berkulat. lahirnya dikau sebagai penyelamat. tetapi kau mabuk dalam hujanan. idealistik yang spastik. bahasa agung kerana ia menjadi perantara ilmu.perantara penuturnya dengan ilmudengan manusia. maka turunlah dikau menjenguk penutur-penutur kecil. yang masih tergagap-gagap dengan bahasa. yang masih malu dan segan dengannya. ajarkan mereka tentang kejujuran berbahasa. ajar mereka untuk suka pada bahasanya. ajar mereka cara bercanda dengan bahasanya. agar dia membesar bekarya dan mengguna bahasanya. untuk menjelajah dunia. agar dia celik dan tidak menjadi cendawan berkulat seperti dirimu.

Iqra' itu baca


Iqra' itu baca.

Iqra' itu lahir dari lidah yang membaca,

yang menyebut setiap satu abjad,

dari hieroglif maupun cunieform.

Dari roman maupun jawi.

Sehingga kau kenal tiap bait2 mantera katamu.

agar bertaut segala persoalan

agar terjawab segala kekusutan

benang-benang yang berselirat

pantas kau uraikan

dek kerana hebatnya akalmu

bersiram dengan takjub ilmu

yang lahirnya dari iqra'

iqra' yang membaca.

iqra' itu baca

Baca keatas dirimu

Baca untuk bangsa dan agama mu

Agar celik mata-mata yang alpa

Yang leka Yang lupa

bahawa jibril bersurah atas kalam ini

maka bacalah nescaya tidak rugi

kerana jambatan ilmu itu asasnya

dari bata-bata buku dan simen-simen risalah

Ibarat isi dengan kuku

isi ilmu itu iqra'

iqra' yang membaca

iqra' itu baca

Baca demi masa yang ada

sumpah atas masa,

atas nyawa.

Sementelah nyawa ini kau lalui

semakin putih uban semakin akhir zaman

apakah lalunya kau hanya menempel,

di liku penuh sesak

sedang akal ini kau lapangkan?

lapang dari qiraat ilmu

lapang dari halawatul ilmi

yang mudah kau perolehi

dari iqra', dari iqra' yang membaca

Saturday, December 25, 2010

-- BlackOut --

Bosan
Bosan itu boleh jadi
Satu nikmat satu rahmat
Adakala
Bosan menjadi
Satu bala yang menyakitkan
Dari satu kebosanan maka akan lahirnya sesuatu
Yang membuahkan pepohon yang layu
Dan kerana bosan jua
Membunuh benih hasanah yang baharu tertanam
Dengan permainan -permainan akal
Yang dilandaskan dengan nafsu nafsi yang jijik

Maka bosan ini boleh jadi
Lapar...
Dahaga...
Belari juga tiada penghujung...
Berjalan juga tiada berhenti...
Bosan ini memenatkan
Otak otak otak
Shhhh.....
Suara-suara yang membisik
Bertanya dan menanya
Siapa menjawab
Siapa??
Bosan sangat penat
Ibarat sesat di ruang kekosongan..
Baik kau tidur
Tidur....
Tidur....Zzz..
ZzzZzzz.......

Kata Penglipurlara...

Meniti di tebing tebing peristiwa. Melihat, mendengar dan menilai setiap yang terjadi. Lalu ku ambil sebiji batu yang leper di permukaan. cukup licin, cukup halus, ku lempar jauh ke dalam dari tebing itu. Dengan harapan ia akan terapung. namun batu tetap batu. keras dan beratnya tidak mungkin terapung. satu lagi kerja sia-sia... - Ahmad Saiful Anwar 2010

Biasakan Yang Biasa Bukan Terbiasa



Malam menjengah. pena ini masih terus berbicara. kali ini dia ditemani susuk susuk malam barakah. sambil kekenyangan memakan murtabak beharga dua ringgit. sedap kerana isinya tebal tetapi punya banyak cacat celanya. batu kecil adakala menjadi perisa. Hairan kerana aku lihat kedai mutabak ini masih berdiri di bahu-bahu jalan. sedang ia jelas dicemari tetapi ironi masih ramai yang membeli. tetapi aku kira ironi itu sebahagian kita. ironi itu mencorak hidup manusia.

Masih aku ingat kata hikmat orang dahulukala menyuruh "Biasakan Yang Biasa, Bukan terbiasa" aku kira bukan semua paham maksud disebaliknya. Hang Tuah dulu juga hidupnya tidak mengerti kata-kata ini. Menghukum jebat yang cuba melakukan perkara "biasa". tetapi yang "terbiasa" itu lebih hebat. lebih kuat. kerana ia sebahagian kita. Masakan kita mahu mengubahnya. ironi itu makanan kita. jauh di dalam darah kita sudah menetas benih-benih hipokrasi. Melakukan yang" biasa" itu bukan budaya kita. Bukan budaya dia. Bukan budaya kamu.

Maka. tersebutlah kisah 30 ramadhan berlalu duka. syawal menjelang disambut suka. adat "terbiasa" memberi seringgit dua kepada adek-adek, kakak-kakak, abang-abang, tidak lupa pada si adek manis dari Padang Kota. si pemberi bergelut duka si penerima melonjak gembira. ada -ada sahaja yang membisik ini adat "terbiasa" mesti dijunjung, mesti di sanjung. Pahala menggunung. sekali lagi aku melihat Pak Pandir tertawa. Melihat Lebai Malang kemaluan kerana terkoyak bajunya. sedang dia tahu hakikatnya. kertas itu mustahil lebih keras dari kain. kertas itu mustahil lebih cantik dari satin.

Begitulah kita ibarat si Lebai Malang. Mengetahui fadhilat beribadah di bulan ramadhan itu punya pahala berganda. Adat "terbiasa" mengaburi yang "biasa". Bersedekah seringgit dua harus berubah masanya. agar manfaatnya berganda seperti fadhilat Puasa. "Terbiasa" itu beban. Terbiasa itu Malang. Lebai Malang sudah ilang wang taruhan. ilang kemaluan yang tinggal hanya bau-bauan. "Terbiasa" yang merosakkan kita. Ironi jangan menjadi kita. "Biasakanlah yang biasa, Bukan Terbiasa"

Kata-kata pujangga....


sesuatu yang istimewa pada kita adalah yang biasa dimata mereka yang lain - ahmad saiful anwar Dec 2010

si Ahmad dan si Ah Chong





Kali ini, pena ini menulis lagi. Satu pertemuan pada hari ini membawa kepada satu lagi jentikan minda yang membangunkan lamunan terhentiku. 400 tahun... 400 tahun bangsaku terperuk didalam guni-guni penjajahan. Diatur dan disusun di para-para gudang mengikut acuan penjajah, sehinggalah guni-guni ini dibuka. Kini bangsaku bebas, bersamanya keluar bau-bauan haprak ideologi penjajahan. bebas dari guni tetapi badan masih melekat debu dan hama yang cukup halus, tersisip dicelah-celah kulit yang akhirnya menjadi kurap yang sungguh gatal.

Hari ini, burung murai tidak mengajuk lagi, Burung Enggang tidak lagi megah berdiri, jaguh kampung sudah kembali kekampung-kampung menilai keupayaan diri, tidak lagi menuding jari mengangkat diri kerana tidak ada lagi salah perlu dituding, tidak ada lagi benang basah perlu ditegak, kerana jelas lagi bersuluh bahawa kita punya share yang sama. Jatuhnya melayu didalam kuasa ekonomi negara bukan lagi salah dia dan salah kamu tetapi kita. Bangsa yang melihat sejarah hanya untuk menyalahkan sejarahnya. meratap nasib tetapi tidak mahu mengubahnya.

Sejarah menunjukkan orang melayu terlalu muda untuk bersilat didalam gelanggan ekonomi negara. Di banding orang cina, mereka sudah diberi peluang sejak Colonel Sanders ketemu resepi KFC lagi. Tetapi persoalannya, adakah tempoh masa ini merupakan alasan yang kukuh untuk kita terus leka begini? Adakah hanya dengan menyalahkan orang lain maka Colonel Sanders akan dapat menghasilkan ayam goreng yang sedap dan unik rasenya berbanding ayam goreng yang di masak oleh Cik Salmah gadis genit dari Felda Sendayan? sudah tentu tidak! kerana perubahan itu bermula dengan satu langkah dan langkah itu akan menjadi mudah jika kita berpegang kepada nilai "Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing"

Makanya En Mahmod dan Puan Melati, adakah jika sejarah diterbalikkan bahawasanya saudara-saudara kita mendapat peluang mengerjakan ekonominya lebih lama dari Ah Chong dan Siew Lin, maka hari ini kita yang menjadi raja digelanggang ini?

Lihatlah apa yang Ah Chong kerjakan sehingga dia megah berdiri hari ini? berapa banyak persatuan-persatuan yang bermula dengan nama "Lim" maupun Chong" dan berapa pula persatuan-persatuan yang wujud bermula dengan nama "Ahmad" maupun "Salmah?" semangat bepersatuan ini yang hari ini mengankat Ah Chong sehingga menjadi raja ekonomi. Nah, berapa pula persatuan yang kita wujudkan untuk membantu kita mengangkat bangsa bersaing di gelanggang ini?

Ha! seperti yang disurahkan maka Si Luncai terapung dengan labunya mula sedar bahawa dengan sebiji labu tidak cukup hebat untuk menghanyuktan dirinya kepantai. jika tiada labu-labu lain maka si luncai sudah pasti tenggelam didalam lautan mengganas, tenggelam bersama cerita-ceritanya kerana gagal mengenal erti bersatu. sebagai bangsa merdeka, jika makna bersatu itu tidak jelas maka usah kita cepat melatah. Menyalahkan dia dan kamu. sebaliknya bangunlah dari mimpi lagha ini. sebelum terjatuh dan terperuk didalam guni-guni penjajahan kembali.